Sunday, August 21, 2011

Doa dan terus berdoa ....




Berbakinya sedikit lagi Ramadhan di fasa ketiga  ini jom lah kita teruskan usaha kita hingga ke akhirnya, 'doa dan terus berdoa..amin'.
Kerana doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba yang dilakukan secara langsung dengan Allah s.w.t dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar Allah. Allah s.w.t tidak suka kepada hambanya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Araaf ayat 55-56:

Maksudnya:" Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.

Ketika menjelaskan perkara yang sama, Salman al-Farisi meriwayatkan
bahawa nabi Muhammad s.a.w bersabda:

Mafhumnya:" Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan"
(Riwayat Tirmizi)

Berdasarkan peringatan Rasulullah s.a.w ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbulkan Allah s.w.t?. Seorang sahabat iaitu Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah s.a.w agar memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul, Menurut Ibnu Abbas r.a Rasulullah s.a.w bersabda:

MAfhumnya:" Wahai sa'ad, makanlah makanan yang baik (lagi halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doannya selama 40 hari. Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah layaknya" (Hadith Riwayat Thabrani)

Adab-adab berdoa itu ialah:

Pertama : Suci dari hadas besar dan kecil,
Kedua : Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah Al-FAtihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Ketiga : Berdoa dengan ikhlas, suara yang perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu, dan yakin Allah akan mengabulkan doa sama ada cepat atau lambat,
Keempat : Berdoa terus menerus sama ada semasa senang atau susah, dan tanpa putus asa
Kelima : Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau meninginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturahim, kerosakan harta benda dan kezaliman sesama sedara umat islam.

Akhirnya hayatilah mafhum hadith ini:"Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga doa orang yang dizalimi, dimana doa-doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi"
(Riwayat Tirmizi)

Sumber teks :sautul jumaat

Sunday, August 14, 2011

Bebas dari Sindrome


Alhamdulillah, berkat Ramadhan keputusan sampel darah adik menujukkan adik bebas sebarang sindrome. Setahun menanti untuk pengujian semula yang dilakukan oleh Dr.Ch'ng Geik (Doktor Genetik) ini juga merupakan kali kedua ujian yang agak lama. Sebelum ini penantian keputusan yang dihantar ke Australia juga turut membuat penantian yang agak lama dan keputusannya juga baik.

Namun Dr.Ch'ng  tak puas hati dan cuba memujuk abah dan ibu untuk pengujian semula. Perasaan abah dan ibu yang pada mulanya berat terpaksa akur juga akhirnya bagi memberi keyakinan kepadanya atas apa yang telah dilakukan.

"Itu hari ada check sample darah ye?" tanya Dr. Ken (Pakar Genetik) dalam sessi temujanji baru-baru nii.

"Bagaimana keputusanya doktor?" celah ibu.

"Ok..semua ok.. Amani free syndrome sekarang ok ha.." tambahnya lagi.

"Alhamdulillah..!"

Abah dan ibu cukup gembira bila mendengar penjelasan Dr.Ken. Apa yang boleh dikatakan, merasakan syukurnya kepada Allah s.w.t. Walaupun adik masih belum bertutur, sekurang-kurangnya ringanlah beban adik. Terima kasih juga kepada yang turut mendoakan adik. Semuga doa kalian mendapat ganjaran berganda dari Allah s.w.t. 


Monday, August 8, 2011

Jangan kuruskan pahala puasa


Semalam habis solat zohor berjamaah sempat dengar tazkirah ringkas dari Imam. Dalam masa singkat itu banyak juga perkara tentang ibadah puasa disampaikan diantaranya jangan 'kuruskan pahala puasa kita.'

Korang tau tak..? pahala puasa kita boleh berkurangan lantas kosong kantungnya disebabkan diri kita sendiri, malah apa yang kita dapat sekadar rasa lapar dan dahaga semata-mata.

Sebenarnya pahala bagi orang yang berpuasa ini sangat besar dan hebat tapi akan menjadi kurus atau berkurangan jika tidak dijaga dengan baik.

Apa puncanya?

Pertama-Mata
Tidak menjaga pandangan mata dari melihat perkara-perkara yang tidak manafaat pada diri dan terankatnya nafsu ketika berpuasa.

Kedua-Telinga
Mendengar perkara-perkara tidak baik, perkara umpat atau mendengar lagu yang tidak kepada puji-pujian ilahi. Banyakkan mendengar perkara berilmu seperti ceramah-ceramah agama.

Ketiga-Mulut
Mulut bebas mengeluarkan kata-kata yang tidak baik serta mengumpat. Berzikir lebih baik untuk mengekalkan pahala.

Keempat-Angota lain
Tidak menjaga aurat diri dengan baik (lelaki dan wanita).

Lain-lain
Melakukan perkara yang diharamkan diantaranya merokok yang tidak menyumberkan kepada kesihatan.

"Ya Allah jadikanlah puasa ku dan umat Islam penuh dengan pahala keberkatan-Mu"

Saturday, August 6, 2011

5 Bonus Khas Ramadhan



Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu 'alaihi wa salam bersabda yang bermaksud : "Umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada umat-umat terdahulu ketika ramadhan iaitu :

1. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah.

2. Para Malaikat beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.

3. Allah memperindahkan syurga-Nya setiap hari dan berfirman: 'Hampir-hampir hamba-hambaKu yg soleh akan dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu'. (Mereka sanggup bersusah payah di dunia demi kebahagiaan didunia dan di akhirat)

4. Syaitan-syaitan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadhan.

5. Mereka mendapat keampunan pada akhir malam (orang yg beramal akan disempurnakan pahala amalan mereka setelah selesai mengerjakannya). Mengenai bonus ke-5 ini, ada sahabat bertanya kepada Baginda Sallallahu 'alaihi wa salam : "Ya, Rasullullah, apakah itu berlaku pada Lailatulqadar?" Baginda menjawap : "Bukan, tetapi pelaku kebaikkan akan disempurnakan pahalanya sesuai menyelesaikan amalannya." (HR Ahmad)

Friday, August 5, 2011

Beristighfarlah.....


Maksudnya:  
Aku minta ampun daripada Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain daripadaNya, yang hidup dan yang menguruskan makhlukNya dan aku bertaubat kepadaNya.
Hadis Nabi:
 “Dari al-Agharr bin Yasar al-Muzani radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
”Wahai sekalian manusia, bertaubat dan minta ampunlah (istighfar) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah seratus kali setiap hari.” (HR. Muslim)
Kesibukan seharian kita kadang kala perkataan yang mudah ini sukar sangat untuk terucap dimulut kita walhal ia teramat baik untuk kita. Namun tahukah kita dengan beristighfar, ia sebenarnya menjadi perisai dari segala godaan syaitan yang sentiasa meruntum hawa nafsu supaya manusia terus melakukan dosa.

Ulama salaf Ibnu Jauzi menjelaskan:
"Sesungguhnya Iblis berkata, aku membinasakan anak adam dengan dosa-dosa. Mereka membinasakan ku dengan istighfar dan dengan kalimah laillaha illallah. Maka ketika aku melihat mereka di antara mereka seperti itu, aku pun menyelusup pada diri mereka hawa nafsu. Sehingga mereka berdosa dan tidak memohon ampun kerana menyangka bahawa mereka telah berbuat sebaik-baiknya."

Justeru seorang lagi ulama salaf Rabi' bin Khutsam berkata: 
Memohonlah dengan sesungguh-sungguhnya kepada Rabb(Tuhan) kamu,dan berdoalah kepadanya disaat lapang. Sebab Allah berfirman 
"Barang siapa berdoa kepada ku dimasa lapang, Aku akan kabulkan doannya di saat sempit. Barang siapa meminta kepada ku, maka Aku akan memberinya, barang siapa tawaduk (merendah diri) kepada ku, Aku akan mengangkatnya. Barang siapa mengabdikan dirinya untuk ku Aku akan merahmatinya. Dan barang siapa akan memohon keampunan kepada ku, Aku akan mengampuninya."

Insyaallah beristighfar dan berdoalah...kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...