Sunday, August 21, 2011

Doa dan terus berdoa ....




Berbakinya sedikit lagi Ramadhan di fasa ketiga  ini jom lah kita teruskan usaha kita hingga ke akhirnya, 'doa dan terus berdoa..amin'.
Kerana doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba yang dilakukan secara langsung dengan Allah s.w.t dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar Allah. Allah s.w.t tidak suka kepada hambanya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Araaf ayat 55-56:

Maksudnya:" Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.

Ketika menjelaskan perkara yang sama, Salman al-Farisi meriwayatkan
bahawa nabi Muhammad s.a.w bersabda:

Mafhumnya:" Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan"
(Riwayat Tirmizi)

Berdasarkan peringatan Rasulullah s.a.w ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbulkan Allah s.w.t?. Seorang sahabat iaitu Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah s.a.w agar memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul, Menurut Ibnu Abbas r.a Rasulullah s.a.w bersabda:

MAfhumnya:" Wahai sa'ad, makanlah makanan yang baik (lagi halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doannya selama 40 hari. Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah layaknya" (Hadith Riwayat Thabrani)

Adab-adab berdoa itu ialah:

Pertama : Suci dari hadas besar dan kecil,
Kedua : Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah Al-FAtihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Ketiga : Berdoa dengan ikhlas, suara yang perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu, dan yakin Allah akan mengabulkan doa sama ada cepat atau lambat,
Keempat : Berdoa terus menerus sama ada semasa senang atau susah, dan tanpa putus asa
Kelima : Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau meninginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturahim, kerosakan harta benda dan kezaliman sesama sedara umat islam.

Akhirnya hayatilah mafhum hadith ini:"Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga doa orang yang dizalimi, dimana doa-doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi"
(Riwayat Tirmizi)

Sumber teks :sautul jumaat

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...