Tuesday, June 28, 2011

Disebalik 27 Rejab


Apa perkara istimewa disebalik 27 Rejab? Satu peristiwa menarik yg menjadi pegajaran untuk kita.
Bulan Rejab memperingatkan kita dengan satu peristiwa bersejarah yang dilalui oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.; satu peristiwa yang menguji keyakinan umat Islam terhadap terhadap Risalah Kenabian Baginda Rasulullah s.a.w.

Allah SWT telah menunjukkan rasa kasih-Nya kepada Baginda Rasulullah s.a.w. melalui Peristiwa Isra' dan mi'raj setelah berbagai kesukaran dan halangan yang dialami oleh Baginda dalam usahanya menyampaikan Risalah Islam kepada umat manusia. Suatu ketika Baginda telah dipulaukan oleh kaumnya, Baginda juga telah diuji dengan kehilangan orang yang disayanginya, bahkan Baginda juga telah dicederakan dan dilukai oleh orang-orang yang memusuhinya. Rentetan daripada ujian-ujian inilah maka Anugerah Kemuliaan telah diberikan oleh Allah SWT kepada Baginda melalui Peristiwa Isra' dan mi'raj.

Isra' dan mi'raj merupakan satu perjalanan yang telah mempertemukan Baginda dengan Para Anbia' di sepanjang perjalanannya sehinggalah akhirnya Baginda telah diperkenankan bertemu dengan Allah SWT untuk menerima kefardhuan solat lima waktu sehari semalam. Selain daripada itu Isra' dan mi'raj ini juga telah memaparkan banyak peristiwa kepada kita tentang gambaran nikmat dan azab kehidupan selepas kematian; gambaran nikmat orang-orang yang beriman dan gambaran balasan azab yang dirasai oleh orang-orang yang ingkar dan berbuat maksiat kepada Allah SWT. Ke semua ini telah dipertontonkan kepada Rasulullah s.a.w. dan telah diperjelaskan oleh Malaikat Jibril a.s. yang mengiringi perjalanan Isra' dan mi'raj Baginda Rasulullah s.a.w.

Antara gambaran azab siksaan yang telah dipertontonkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. di sepanjang pengembaraan Malam Isra' dan mi'raj ialah;

1- Peristiwa sekumpulan manusia yang menghentak kepala mereka ke batu. Ini adalah gambaran orang-orang yang lalai mengerjakan solat.
2- Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan tumbuh-tumbuhan berduri. Ini pula merupakan gambaran mengenai orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat.
3- Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan daging busuk sedangkan di tangannya ada daging yang baik. Ini pula adalah gambaran orang-orang yang melakukan perbuatan zina.
4- Peristiwa sekumpulan manusia yang meletakkan bebanan demi bebanan di atas belakangnya sedangkan dia sudah tidak mampu lagi untuk memikulnya. Inilah gambaran orang-orang yang tidak layak memegang sesuatu amanah tetapi sanggup mengambil amanah tersebut sedangkan dia tidak mampu untuk melaksanakannya.
5- Peristiwa sekumpulan manusia yang berenang di dalam lautan darah sedangkan mulutnya diisi dan dipenuhi dengan batu. Inilah gambaran orang yang memakan riba.
6- Peristiwa yang tidak kurang dahsyatnya juga ialah mengenai sekumpulan manusia yang mencakar-cakar wajah mereka dengan kuku yang tajam, kemudian mereka mengambil cebisan daging mereka sendiri dan memakannya, kemudian mereka pula mengambil daging orang lain yang berbau busuk lalu memakan daging tersebut. Inilah gambaran orang-orang yang mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain.
Selain daripada gambaran-gambaran yang telah disebutkan, terdapat banyak lagi peristiwa yang telah dipertontonkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. pada malam tersebut. Ada peristiwa yang baik dan tidak kurang pula peristiwa yang amat menakutkan.

Sesungguhnya peristiwa yang telah dipertontonkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. pada Malam Isra' dan mi'raj sebenarnya adalah sebagai peringatan kepada umat Islam agar menghindarkan diri mereka daripada
perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan juga rasul-Nya.

Sebagai seorang hamba, kita sewajarnya merasa takut dengan ancaman-ancaman yang telah ditunjukkkan lantas menjadikan kita sentiasa berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Sekalipun kita tidak pernah diberikan peluang untuk melihat sendiri peristiwa-peristiwa tersebut, namun sewajarnya kita meyakini bahawa setiap perkara yang dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. adalah benar ke semuanya.

Muslimin/Muslimat yang dirahmati Allah SWT,

Apa yang berlaku pada sebahagian masyarakat kita hari ini seolah-olah tidak mengambil peduli dengan peringatan-peringatan daripada Peristiwa Isra' dan mi'raj. Sebilangan masyarakat Islam kini sudah merasa selesa walaupun sering meninggalkan solat yang telah difardhukan ke atas mereka. Sebahagian yang lain pula sentiasa sibuk dengan urusan-urusan perniagaan dan urusanurusan kerja ketika mana umat Islam yang lain sentiasa patuh mengerjakan tuntutan solat.

Firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 59;

Maksudnya: "Maka datanglah sesudah mereka, keturunan-keturunan yang melalaikan solat dan menurut hawa nafsu, maka mereka bakal menghadapi azab (di dalam neraka)".

Muslimin/Muslimat yang dirahmati Allah SWT,

Pada hari ini semakin berleluasanya perbuatan maksiat yang berlaku dalam masyarakat kita, malah sukar untuk dibendung. Perbuatan zina, pelacuran, rogol dan lain-lain lagi telah acap kali didedahkan dalam akhbarakhbar.
Perbuatan-perbuatan terkutuk ini yang melibatkan umat Islam baik yang muda mahupun yang tua, baik yang telah bersuami isteri apatah lagi yang muda remaja. Kenapakah mereka sanggup meratah daging yang busuk dan menjijikkan selama-lamanya di hari akhirat kelak hanya untuk memuaskan keinginan nafsu yang sementara di dunia ini?. Apa yang nyata, orang-orang seperti ini sebenarnya tidak pernah mengambil peduli tentang segala bentuk ancaman yang datang daripada Allah SWT disebabkan nafsu serakah yang telah menguasai diri mereka.

Firman Allah SWT dalam surah Al-A'raaf ayat 179 :

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti ke Esaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai".

Muslimin/Muslimat yang dirahmati Allah SWT,

Salah satu daripada sifat mazmumah yang wujud di dalam diri manusia ialah sifat hasad dan dengki. Sifat mazmumah ini wujud kerana sikap manusia itu sendiri yang tidak pernah merasa cukup dengan apa yang telah dimilikinya dan merasa irihati dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Akibatnya berlakulah perbuatan umpat-mengumpat, fitnah-memfitnah, caci-mencaci dan seumpamanya. Oleh kerana itulah Allah SWT telah memberikan peringatan lebih awal dengan menyediakan azab siksaan yang berlipat kali ganda banyaknya sebagaimana yang telah ditunjukkan di dalam Peristiwa Isra' dan mi'raj. Dalam hal yang sama, Allah SWT juga telah memberi peringatan melalui Firman-Nya dalam surah Qaaf ayat 18 :

Maksudnya: "Tiada sebarang perkataan yang dilafazkan-Nya (atau perbuatan yang dilakukan-Nya) melainkan ada di sisi-Nya Malaikat Pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)".

Perbuatan mengumpat dan memfitnah ini sebenarnya memberikan kesan yang sangat buruk kepada penyatuan umat Islam. Masyarakat boleh menjadi kucar-kacir, berpecah-belah dan bercakaran sesama sendiri hanya disebabkan oleh Lidah Yang Tidak Bertulang. Di dalam zaman yang serba moden pada hari ini, perbuatan mengumpat dan memfitnah bukan sahaja berlaku melalui lidah manusia, bahkan ianya juga berlaku secara berleluasa melalui penulisan sama ada di dalam akhbar, majalah, bahkan juga melalui sebaran internet. Ruangan-ruangan komentar, forum dan sebagainya dijadikan sebagai medan untuk melepaskan perasaan geram dan dendam yang terbuku di dalam hati. Tanpa kita sedari, perbuatan-perbuatan seperti ini sebenarnya telah mengembang-biakkan lagi sifat hasad-dengki di kalangan sesama umat manusia.

Perbuatan seperti ini mestilah dibendung sebelum ianya menjadi barah yang akan membinasakan keharmonian hidup manusia. Mereka harus dididik dan diberikan kesedaran serta peringatan tentang ancaman-ancaman Allah SWT ke atas mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan keji ini. Mudah-mudahan dengan peringatan ini, manusia akan kembali menginsafi kesilapan mereka dan mengubah tatacara kehidupan ke arah yang diredhai oleh Allah SWT.

Muslimin/Muslimat yang dirahmati Allah SWT,

Sesungguhnya setiap perkara yang datang daripada Allah SWT itu mempunyai maksud dan tujuannya yang tersendiri. Walau apapun maksud dan tujuan tersebut, kita yakin bahawa ke semuanya adalah untuk kebaikan makhluk ciptaan-Nya yang wujud di alam ini terutamanya umat manusia. Maka begitulah juga keadaannya dengan apa yang telah digambarkan dalam Peristiwa Isra' dan mi'raj. Sesungguhnya apa yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan umatnya ini seharusnya memberikan keinsafan kepada kita agar sentiasa berusaha memperbaiki diri pada setiap masa sebelum tibanya hari yang telah dijanjikan oleh Allah SWT; hari yang tiada manfaat baginya harta dan juga anak-pinak; hari yang tiada penaung bagi setiap insan melainkan naungan Allah SWT, iaitu hari perhitungan di Padang Mahsyar.

Maksudnya: "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali (harta benda dan anak - pinak) orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan penyakit nifaq)".

(Asy-Syu'araa' : 88 - 89)

Kredit ekhutbah Jais.

6 comments:

  1. semoga menjadi pengajaran utk kita

    ReplyDelete
  2. assalam..

    begitu besar kekuasaanNya.. trm ksh berkongsi

    ReplyDelete
  3. Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia2 ...:)

    ReplyDelete
  4. satu petunjuk yg disampaikan oleh Allah s.w.t kpd nabi utk umatnya supaya lebih kuat lagi bila kita fikirkan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...