Saturday, December 4, 2010

Antara anak dan kereta yg mana berharga..?

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. ”

Dari Aisyah r.a katanya:”Seorang wanita datang kepadaku membawa dua orang anaknya, meminta makanan. Tetapi tiada apa yang boleh didapatinya daripadaku ketika itu selain daripada sebiji kurma, lalu kuberikan kepadanya. Kurma itu dibahagi dua dan diberikannya kepada kedua anaknya itu, dan ia sendiri tidak memakannya. Kemudian ia berdiri dan terus pergi. Setelah nabi s.a.w datang, aku ceritakan hal itu kepada baginda. Sabda beginda s.a.w, “Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka.”

(Bukhari)

Kisah ini mungkin ramai dah baca dan dah tahu pun, tapi aku tertarik nak jadikan entri aku kerana banyak yang perlu kita pelajari dari kisah ini semuga ia jadi peringatan.

Sepasang suami isteri - seperti juga pasangan lain di kota-kota besar meninggalkan anak-anak dan diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja.

Anak perempuan tunggal pasangan ini, berusia tiga setengah tahun..

Ketika di rumah dia kerap dibiarkan oleh pembantunya yang sibuk bekerja. Beliau sering bermain dilaman, tetapi pintu pagar tetap dikuncikan.


Bermainlah dia sendirian sama ada bermain  di buaian, ataupun memetik bunga- bunga milik ibunya.




Suatu hari dia terjumpa sebatang paku yg dah berkarat. Dia pun mula melakar di lantai tempat letak kereta ayahnya yg dipasang dgn kemasanan lantai daripada marmar, tetapi lakarannya tidak kelihatan.  Dia termenung sekejap memikirkan lakarannya tak kelihatan.


Lalu dicuba pula pada kereta baru ayahnya. "Yeehh...kat cini  ade" mungkin itulah yg difikirkan sikecil ini, kerana kereta itu bewarna gelap, dengan lakarannya yang jelas.



Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah dan melahirkan kreativitinya mengikut apa yg difikirkan. Hari itu bapa dan ibunya hanya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.

Tak cukup sebelah kanan dia beredar pula ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, dan juga gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. 


Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah. Maklumlah terlalu sibuk agaknya.


Bila ayah dan ibunya  pulang dari kerja petang itu, alangkah terkejut badaklah pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli secara ansuran, berbatik-batik jadinya. Si bapa yang belum pun sempat masuk ke rumah terus  menjerit, "Siapa punya kerja ni? " Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. 


Dia mengucap panjang dengan mukanya yang merah padam, ketakutannya bertambah bila melihat wajah bengis tuannya. 


Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, "Siapa punya kerja ni? " dia terus mengatakan "Tak tahu...encik !" "Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?" herdik si isteri lagi.

Si anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik.
Dengan penuh manjanya dia berkata "Ita buat ayahhh.... cantik kan !"katanya, sambil menerpa kepada  ayahnya seperti biasa dengan manjanya. 

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya, lalu terus dipukulnya bertalu-talu di tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan. 

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan. Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa. 

Si bapa cukup rakus memukul tangan anaknya tak cukup kanan, tangan kiri  juga menjadi sasaranya ..

Selepas itu si bapa masuk ke rumah dengan dituruti si ibu, tanpa pedulikan anak kecil itu lalu pembantu rumah menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil tersebut dengan calar balar.

Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air, dia menangis merasa terharu melihat sikecil. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. 

Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa tidak mempedulikannya dan sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah.

Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak ini bengkak...lalu Pembantu rumah mengadu. "Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya, bapa kepada si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Tindakan Si bapa yang konon mahu mengajar anaknya.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu pula sekadar bertanya je setiap hari kepada pembantu rumah. "Ita demam.... " jawap pembantunya ringkas.

"Bagi minum panadol tu," balas si ibu..

Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.
Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap" kata majikannya  itu.

Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius.
Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu..
"Tiada pilihan.." katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana gangren yang terjadi sudah terlalu teruk.

"Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah" kata doktor.

Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu.
Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibumeraung merangkul si anak.

Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga melihat kedua-dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis..

Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata..
"Abah.. Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama." katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.
"Ita juga sayang Kak Narti..eer..eer" katanya memandang wajah pembantu rumah, sambil teresak-esak sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

"Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi," katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si ibu  mendengar kata-kata anaknya.

Meraung sekuat hati mana pun namun yang terjadi sudah terjadi, bila diri dikuasai nafsu. Fikir-fikirkan lah, sanggupkah kita lakukannya semata-mata kerana harta menyebabkan anak normal menjadi oku selama-lamanya disebabkan satu kesilapan.

ANTARA ANAK DAN KERETA...YANG MANA LEBIH BEHARGA...

1 comment:

  1. Sedih & menyayat hati membaca kisah ni. Betapa kurangnya kasih sayang untuk anak-anak. Bila dah tua nanti jika anak-anak abaikan kita jangan pulak dipertikaikan...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...